Isnin, 31 Mei 2010

menjaga MULUT

Peliharalah lidah daripada menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, cakap
kosong mengumpat keji dan mengadu-domba. Bukanlah kita tidak dibenarkan
bercakap, tetapi jika terlalu banyak bercakap, tentulah banyak terkeluar
daripada percakapan itu dan nanti natijahnya banyaklah juga dosa.
esan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah
kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, api
nerakalah yang layak untuk dirinya." (Hadis riwayat Baihaqi). Jika sudah
banyak dosa, maka tentulah neraka yang paling layak untuk si mulut murai
ini, seperti sabda Rasulullah SAW, "Tidaklah dihumban muka manusia ke dalam
neraka itu sebagai hasil tuaian (jelik) lidahnya." (Hadis riwayat
At-Tarmizi)

Imam Nawawi juga ada berpesan, kita wajar menjaga lidah daripada bercakap
yang sia-sia, kecuali jika percakapan itu mendatangkan kebaikan. Apabila
bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya
adalah lebih baiklah berdiam diri. Hal ini kerana percakapan yang diharuskan
mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah
banyak berlaku, tetapi kebaikan daripadanya adalah amat sedikit/jarang.

Apa yang pasti, jika tidak ada lagi yg hendak diperkatakan, eloklah berdiam
diri sahaja. Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada
Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik
dan kalau tidak, hendaklah diam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada hadis di atas, dapatlah kita memahami bahawa seseorang yang beriman
itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada
perkara yang memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain. Kalau tidak
dapat memberi sesuatu yang membawa kebaikan, maka adalah lebih baik berdiam
diri saja.

Rasulullah ditanya mengenai kelakuan yang paling banyak memasukkan seseorang
ke dalam syurga. Jawab baginda: "Takwa kepada Allah dan keindahan akhlak."
Ketika Baginda ditanya apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam
neraka? Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan." Rasulullah SAW
lagi bermaksud: "Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan
kehormatan orang), maka Allah akan menutup kecelaannya (hal yang memalukan).
Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada
seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah
akan menerima permintaan kelonggarannya." Rasulullah bermaksud: "Tidak akan
lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan
lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan
masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya." (Hadis
riwayat Ibnu Abib-Duanya).

Dari Ibnu Syuraih Al Adawi r.a., katanya: "Kedua telingaku mendengar dan
kedua mataku melihat ketika Rasulullah SAW mengucapkan sabdanya : "Siapa
yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan
tamunya, selebihnya." Para sahabat bertanya, "Apa yang dimaksud dengan
selebihnya, ya Rasulullah?" Jawab baginda, "Iaitu siang dan malamnya,
bertamu itu hanya tiga hari. Lebih dari itu adalah sedekah atas tamu itu."
Dan sabda baginda: "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka
hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik, atau diam!" (Hadis
Sahih Muslim, No 1710)

Setelah diteliti hadis-hadis yang diberikan, dapatlah kita membuat
kesimpulan, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan
perkataan yang sia-sia.

Hikmah lidah yang 'diam':

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah
2. Perhiasan tanpa berhias
3. Kehebatan tanpa kerajaan
4. Benteng tanpa pagar
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal
7. Menutup aib diri

Hadis-hadis Rasullulah SAW mengenai kelebihan diam yang bermaksud: "Barangsiapa
yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang
banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak
dosanya, nescaya Neraka lebih utama baginya." (Hadis riwayat Abu Naim)

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia
berkata dengan perkataan yang baik-baik, atau diam." (Riwayat riwayat
Bukhari dan Muslim)

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Ada pepatah mengatakan, banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap
tidak semestinya cerdik.... Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan
kecuali dengan mendiamkan lidahnya. Jalan yang terbaik ialah diam jika kita
tidak dapat bercakap ke arah perkara-perkara yang membawa kebaikan. Bicara
yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada
kekuatan iman pada diri manusia itu sendiri.

Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang
paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat
duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya.
Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari
kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak
angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya." Para sahabat
bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud
perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang
berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan
kesombongannya? Jawab Rasulullah, "ialah orang yang takbur." (Hadis Riwayat
At-Tarmizi)

Daripada hadis di atas, dapatlah kita tafsirkan, orang yang berakhlak mulia
adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang
paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti. Bercakap-cakap kosong atau
perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang
dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal
mengundang azab di hari akhirat kelak. Islam juga melarang umatnya bersifat
membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi
hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan
orang lain.


Hadis Rasulullah s.a.w.:
Daripada Salman bin 'Amir r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala
sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan
silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin
hubungan silaturrahim." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan